Bismillahirahmanirahim Uhh.... mendapat teguran dari sahabiyah sahabiyah ku tercinta tentang kekurangan diriku untuk bertinta di teratak kesayanganku ini. Sesungguhnya aku mengakui bahawa momentum untuk menulis sudah tidak seperti dulu. Malahan setiap kali bersedia di depan cik laptop kesayanganku, otak ku seakan akan beku untuk menarikan jejari ku di papan keyboard. Benarlah janji ALLAH bahawa seorang daieyah itu akan sentiasa di uji dengan kata katanya sendiri. Jika dulu di kampus, diriku inilah yang berapi rapi mengajak cermin ajaibku untuk berblog sebagai salah satu wadah perjuangan dakwah islamiyah. Namun kini diriku pula yang kelihatan agak malap dan sudah tidak lagi mampu menjadi mentol yang dapat menerangi hati hati pengunjung teratak kesayanganku ini. SubhanALLAH... sebenarnya terlalu banyak cerita indah untuk dikongsikan bersama sahabiyah sekalian. Namun diriku ini hanya insan biasa, hanya penulis biasa. Dipohon seribu kemaafan andai artikel ku hanya lebih berkisar berkenaan diriku sahaja. Namun, biarlah kisah ku ini dapat dijadikan ibrah dalam mencari cinta hakiki yang sebenar.
Hati... mengapa hati itu selalu berbolak balik. Adakah kerana hati itu sentiasa dimanjai? Adakah hati itu kurangnya makanan tarbiyah? Adakah hati itu dihuni oleh makhluk hina lain selain DIA YANG MAHA BERKUASA?
Coretan ku ini tidak ku tujukan untuk sesiapa sebaliknya khas ku titipkan buat diriku ini. Kadang kadang bagiku aku terlalu cepat menilai seseorang hanya kerana dari cara berpakaian atau pekerjaannya atau keluarganya, sedangkan ALLAH SWT itu MAHA MENGETAHUI. Serahkanlah segala urusan hanya kepadaNYA. Nescaya hati akan lebih tenteram. Betapa sukarnya untuk menggapai gelaran solehah, namun itu ada impian setiap muslimah. Sesungguh diri ku ini bukan srikandi solehah, jika nilaian manusia adalah melalui cara ku berpakaian Kadangkala cara ku berpakaian ini tidak menggambarkan akhlakku. Tahukah kalian bahawa di kala aku bersendirian, aku juga terkadang lupa untuk mengingatiNYA. Kadangkala daku berasa tidak layak untuk berpakaian sebegini kerana takut akan didakwa oleh pakaian ku sendiri di akhirat nanti kerana tiada niatku semata mata kerana ALLAH dalam hatiku. Cuma aku meyakini setiap yang ALLAH syariatkan pasti ada hikmahnya. Betapa ALLAH amat menyayangi kaum wanita sehingga kita seperti minyak yang ditatang sepenuhnya. Bersyukurlah menjadi wanita muslimah
Aku bukan srikandi solehah, jika nilaian kalian pada kata kataku melalui muka buku atau teratak kesayanganku Tahukah kalian bahawa kadang kalanya aku juga berasa riak setiap kali kalian mengkagumi bait bait yang ku hamburkan. Ah.. betapa gusarnya diriku apabila mengingat pesanan Kekasih yang dirindui Muhammad SAW berkaitan dengan insan yang hanya berkata kata tetapi tidak melaksanakannya apa yang dikatakan iaitu dia akan ditimpakan seksaan yang amatlah berat di hari pembalasan. Diakui juga bahawa setiap kata kata terinspirasi dari ALLAH SWT namun ingatlah seperti yang kukatakan sebelum ini, segala galanya hanya pinjaman. Betapa takutnya diriku apabila tiba saat dan tikanya TUAN sebenar meminta kembali barang yang dipinjamkan, apa yang ada pada diriku? Kerana sesungguhnya DIA adalah pemilik diriku, tidak aku berupaya untuk mengembalikan sesuatu kepadaNYA.
Aku bukan srikandi solehah, jika nilaian kalian pada kelembutan atau keindahan sebagai seorang wanita Tahukah kalian bahawa sememangnya ALLAH menciptakan wanita itu seindah indahnya. Apatahlagi wanita adalah makhluk kesayanganNYA. Cumanya, kelembutan dan keindahan wanita itu bisa menjadi fitnah. Sesungguhnya diriku ini insan yang sentiasa turun naik imannya dan tidak cekap menjaga hati. Yang kudambakan agar ALLAH SWT sentiasa membimbing diriku dan tidak memalingkan hatiku. Sememangnya seorang wanita secara fitrahnya itu mendamba untuk menjadi yang cantik dan indah. Sebaiknya biarlah indah itu kerana agamanya dan cantik itu kerana taqwanya. Dan yang paling penting, cantik di manusia itu tiada ertinya jika tidak cantik di sisi ALLAH SWT.
No comments:
Post a Comment